Beberapa minit lagi menjengah ke tahun 2010.Signifikan tahun baru ini dalam konteks kemajuan negara ialah kita masih ada lebih kurang sepuluh tahun lagi untuk merealisasikan Wawasan 2020.
Kepada mereka yang agaknya sudah lupa Wawasan tersebut (apatah lagi lagunya), ia adalah cetusan mantan PM kita iaitu Tun Mahathir Mohamad yang berarah ke arah memartabatkan Malaysia sebagai sebuah negara maju di dalam kelasnya yang tersendiri pada tahun tersebut.
Beberapa perkara digariskan sebagai wadah dan intipati dalam merealisasikan wawasan tersebut.
Berbalik kepada budaya menyambut tahun baru setiap tahun, azam pastinya ungkapan yang acapkali diungkap menitir dari bibir ke bibir.Sudah tercapaikah azam?Paling tidak pun berapa peratusan azam yang dicapai.
Lebih malang lagi ada yang tidak menetapkan sebarang azam atau azam langsung tidak dapat dicapai walau sedikit.Walhasil balik asal.
Sebagai umat Islam, kita punya Tahun Hijrah untuk menetapkan azam dan tidak perlu menunggu sehingga tahun Masehi untuk merencana perjalanan hidup.Namun tidak salah menyambutnya asalkan tidak ada pembaziran atau maksiat semasa menyambutnya.
Bagaimanapun, dua unsur tersebut tidak dapat dikekang kerana saban tahun pembaziran tampak ketara dengan penganjuran konsert atau sebagainya yang berbentuk hiburan.Kalau sudah namanya hiburan, muda-mudi pastinya golongan yang paling ramai akan turut serta dan semestinya pergaulan bebas yang terjadi secara tidak langsung akan mengundang maksiat sekiranya tiada pemantauan.
Sesungguhnya adalah sangat menyedihkan kerana sektor korporat lebih ghairah dan cenderung memberi penajaan kepada program semasa sambutan sebegini berbanding program yang lebih membentuk peribadi masyarakat ke arah yang mulia.
Tahun baru juga sering tidak dapat lari dari mendapat gosip saban tahun.Isu kenaikan harga barangan adalah yang paling kerap mendapat perhatian di dalam khabar-khabar angin.Semasa di pejabat tadi penulis mendapat berita harga petrol yang akan naik.Namun sebaliknya yang berlaku apabila gula yang mencatat kontroversi beberapa bulan lepas yang terlibat di dalam kenaikan tersebut dengan kenaikan sebanyak dua puluh sen.
Untuk rekod, beberapa hari lalu, pengumuman kenaikan harga rokok pek 20 batang dengan harga minimum RM6.40 telah diumumkan berkuatkuasa besok (Jumaat).
Inilah warna-warni tahun baru 2010 di Malaysia.Dalam 'kehangatan dakapan' ungkapan 1Malaysia-Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan, rakyat telah dihadiahkan dengan kenaikan tersebut.
Biarpun alasan yang diberi adalah untuk mengimbangi perbelanjaan semasa negara, pastinya rakyat golongan marhaen akan terasa tempiasnya.
Semoga tahun 2010 ini akan membawa kita selangkah ke hadapan di dalam puncak kebahagiaan!
-helmi hadi,nysa ibrahim dan qaseh helmi