...

SELAMAT DATANG KE www.helmy2u.blogspot.com...Selamat Kembali Team JPS HILIR PERAK: MISI BANTUAN BANJIR KELANTAN 2015... DARI TEAM helmy2u...

04 February 2015

KENDURI: The Untold Story


Senario 1: 
Kawan: weekend ni joint kitorang punya trip nak bro?
Aku: Sorry bro, aku ada......kenduri (lama nak sebut)
Kawan: what? Tak habis lagi ke kenduri? Ha, pergilah kenduri kau tu!

Senario 2:
Isteri: Dah bersusun kad tu...ai bila la kite nak balik rumah opah ye Qaseh (anak sulung aku bernama Qaseh-nada suara lain macam)
Aku: errrr........

Senario 3:
Lama dulu seseorang......(aku tinggalkan kisah ini hanya untuk pengetahuan aku dan ibu aku)

Aku tinggal di kampung. Asal memang dari kampung. Rezeki aku dapat tempat kerja pun boleh berulang alik dari kampung. Tak pernah aku malu mengaku dari kampung. Bahkan bangga. Mungkin kerana aku 'anak emak'. Tak boleh berenggang dengan emak :-) 

Ironinya aku kahwin dengan orang bandar. Study dulu pun kat Kay El. One thing syukur sangat bila dia sedia duduk serumah dengan ibubapaku di KAMPUNG! 

Apa kaitan tajuk, senario dan mukadimah ini???

Bila duduk di kampung, automatik hidup bermasyarakat adalah satu kepraktikalan yang harus dilalui. Melainkan anda orang yang anti sosial. Antara praktikal kehidupan kampung yang paling signifikan ialah berkenduri kendara terutama kenduri kahwin. 

Walaupun kegiatan katering kian mendominasi kenduri di kampung hari ini, namun di kawasan kejiranan aku, aktiviti rewang, kendara, gotong royong, 'gejobos' atau 'lagan' masih cuba untuk dikekalkan kerana seperti kata kata klise yang sering dilemparkan, ia adalah untuk merapatkan silaturrahim, ukhwah, mencetus kemeriahan dan pelbagai perkara positif lainnya.

Beberapa hari sebelum sesuatu kenduri, tuan rumah yang berhajat akan mengadakan kenduri doa selamat/tahlil (kenduri lagi) dan mesyuarat agihan tugas. Bagi aku tugas yang lazim diberi ialah front liner (uruskan kemah tetamu supaya sentiasa baik dan lauk pauk di dulang buffet mencukupi).

Penat memanglah penat namun apabila melihat tuan rumah senyum dan menghargai kewujudan kita ia sudah memadai. Apatah lagi gotong royong ini ialah sebenarnya rotation kerana jika kita pula yang kenduri, mereka pula akan membantu kita. Ketika ini jugalah dapat berbual mesra dengan masyarakat sekampung tentang pelbagai kisah dan ceritera.Maklum aku di kampung sangat low profile dan kalau aku bagitau yang aku ni sering mengacara majlis program di jabatan mampuslah mereka ni nak percaya dek kesantunan aku di kampung kah kah kah!

Itu baru cerita pasal gotong royong. Belum lagi jemputan oleh rakan ibu bapaku yang juga aku terpaksa pergi walau tidak kenal mereka. Sekarang majoriti rakan ibu bapaku telah dikenali. Tu yang aku kena jaga reputasi di dalam daerah. 

Tidak dapat disangkal, sebahagia mana kehidupan rumahtangga, kadangkala jemputan yang terlalu banyak ini boleh juga menyebabkan aku dengan isteri bertentangan angin. Ini kerana masa kualiti yang sepatutnya digunakan untuk menelusuri erti libur menjadi terhad dan kadangkala tiada. Misalnya dua ke tiga minggu akan datang ini memang kami tidak sempat untuk bersantai hujung minggu dek kerana kenduri! Namun dalam banyak hal, seiring faktor usia isteri sudah memahami dan aku banyak berterima kasih kerana beliau memahami yang aku bukan milik dia seorang tetapi milik banyak pihak (iyolah tu)

Aku tulis artikel ni bukan untuk mengarahkan manusia lain membacainya.Memadailah rakan yang sering keliru (atau celaru) mempertikai kadar kekerapan kenduri yang aku hadapi faham dan menerima sedikit input tentang rasionalisasi dan signikan kenduri dalam kehidupan mingguan aku.

Sungguh aku tak salahkan mereka kerana mereka tinggal di taman di bandar yang mungkin agak kurang terdedah dengan kegiatan seperti ini. Kalau ada mungkin sekali sekala.

Setakat ini mungkin cukup untuk pencerahan. Artikel ini ditulis dalam masa yang singkat. Jadi usah pertikai keberadaan masa aku untuk menulisnya. Lagipun aku menaip di iPad sambil berbaring di sofa. Tiada yang pelik ya.

Selamat membaca kepada yang sudi.


31 January 2015

Hari Itu Telah Berlalu : Misi Bantuan Banjir Kelantan 2015

29 Januari 2015 , Khamis

7.40 pagi

Pagi itu nyaman sekali. Perjalanan penuh bererti ini dimulakan usai flag off oleh Puan Marenawati yang juga penaung misi. Terdahulu, bacaan doa memohon keselamatan diketuai oleh Zainal dan sedikit ucapan ringkas kepada krew telah disampaikan.



9.15 pagi


Konvoi keluar di exit Simpang Pulai setelah memasuki lebuh raya Utara Selatan melalui tol Tapah tadi.Kami berhenti rehat sebentar di Stesen Petronas Simpang Pulai sebelum memulakan perjalanan semula pada jam 10.00 pagi. Masa yang diambil agak lama kerana menanti  salah sebuah lori yang tersilap memasuki exit Gopeng.

11.04 pagi

Kami tiba di Cameron Highland. Konvoi meneruskan perjalanan melalui laluan Gua Musang. Cuaca sangat baik. Beberapa orang dari kalangan krew menyatakan bahawa ini kali pertama melalui laluan ini. Untuk makluman pembaca, laluan ini lengang dan jarang berselisih dengan kenderaan lain. Kami menempuh beberapa lokasi tanah runtuh- sebahagian sedang di dalam kerja penstabilan cerun. Kami juga melalui dua lokasi kenderaan terbakar ( entah sejak bila). Jika anda pernah menonton filem The Book of Eli lakonan Denzel Washington, tentu anda dapat membayangkan satu jalan yang sepi dengan bangkai kenderaan berkarat dengan kesan terbakar...

12.53 tengahari

Kami selamat tiba di Gua Musang. Hajat di hati untuk menyingkir sisa perkumuhan di sebuah tandas awam di satu lokasi bandar ini terbantut apabila ia dikunci rapi tanpa sebarang notis. Kesudahannya krew merangkap chef iaitu Hamdan dan Azwan mengambil keputusan menyediakan juadah makan tengahari di situ. Menu ialah nasi lemak yang hangat. Berlantaikan rumput berbumbungkan pokok- kami menikmatinya dengan penuh menyelerakan. Kami sekali lagi berhenti rehat di hentian RR Gua Musang untuk bersolat.

3.28 petang

Kami tiba di Kampung Laloh, Kuala Krai iaitu lokasi sasaran kami untuk mengagihkan barang sumbangan yang dibawa. Sebelum tiba di sini kami terlebih dahulu dihidangkan dengan pemandangan sekitar yang sangat menyentuh tangkai hati.


Kesan banjir yang masih jelas hari ini sungguh dahsyat dan kami tidak dapat membayangkan bagaimana situasi ketika musibah tersebut berlaku.

Khemah-khemah kecil yang dihuni sebagai tempat perlindungan sementara mangsa yang kehilangan rumah melatari pemandangan di kiri kanan jalan yang dilalui.

Lokasi yang dituju kami boleh dikatakan agak padat dan berdasarkan perbualan dengan penduduk di sini, jumlah rumah yang musnah sama sekali ialah sebanyak 84 buah.

Kampung Laloh ini adalah diantara lokasi yang paling teruk terjejas selepas Manik Urai. Mengikut perancangan awal, misi ini dicadangkan untuk diadakan di Manik Urai, namun maklumat saat akhir yang diterima mengatakan seorang pembesar negara dalam rangka lawatan ke sana yang mungkin akan berlaku kesesakan menyebabkan kami beralih arah ke sini. Ada hikmah di setiap perkara yang berlaku.


Ketika kami tiba terdapat juga pihak lain dari luar yang turut menghulurkan bantuan sumbangan seperti dari Majlis Agama Islam Negri Sembilan.

Proses pengagihan barangan dilakukan dengan lori jabatan yang membawa muatan bergerak melalui dari rumah ke rumah (dan juga bekas tapak rumah) mangsa. Pendekatan ini mungkin berbeza dengan penyumbang lain yang hanya menempatkan sumabangan di pusat pengumpulan. Hasrat kami hanya satu- melihat dengan mata sendiri sumbangan para dermawan sampai ke tangan penerima yang disasarkan.
Pelbagai sumbangan yang diterima seperti cadar TOTO, bahan pencuci, selipar, air mineral dan pelbagai barangan lain.

Menatap wajah suci kanak-kanak yang sangat gembira sewaktu menerima alatulis dari krew membuatkan kami hampir tewas menahan empangan air mata dari pecah. Juga merenung kesayuan wajah makcik, pakcik dan abang, kakak, adik di sini semuanya memerlukan kami untuk kuat dari terus larut dalam emosi.

Tidak tergambar kepayahan yang ditanggung mereka namun sekurang-kurangnya keberadaan kami di sini dalam masa yang sangat singkat bisa sedikit membantu mereka untuk meniti hari esok dan yang mendatang.
Kami sempat berbual dengan seorang pakcik yang sangat berterima kasih dengan kehadiran kami yang turut membawa air mineral. Beliau memberitahu ada pihak menjual setangki air paip dalam keadaan sekarang dengan harga sehingga RM 50.

Mengimbas detik mencemaskan ketika banjir itu, pakcik itu mengungkapkan rasa gerun kerana sepanjang tempoh lebih kurang 30 tahun menetap di situ, kejadian ini merupakan kali pertama berlaku sebegini dahsyat. Paras air meningkat setinggi 3 kaki dalam tempoh setiap jam hingga mencecah ketinggian tingkat 2 bangunan sekolah di situ.

Bantuan juga tidak dapat diselaras dengan sempurna kerana kekurangan aset ditambah paras air yang meningkat secara mendadak.

Hujan yang turun ketika pengagihan sumbangan sedikit pun tidak mematahkan semangat kami.Bahkan kami terus bersemangat mendekati penduduk.

Nyata wajah kepuasan yang tidak dapat digambarkan terserlah di setiap kami hinggalah semua barangan berjaya diserahkan menjelang jam 6 petang.

Kami tinggalkan Kampung Laloh sekitar jam 6.30 petang dengan sejuta kenangan manis. Kami singgah semula di hentian RR Gua Musang untuk membersihkan diri, solat dan memasak untuk makan malam. Salah seorang krew bernama Muzri mempamerkan kepakarannya menyediakan hidangan BBQ sebagai 'hadiah' penat lelah kami disebelah petang tadi. Tidak ketinggalan Hamdan dan Azwan yang bertungkus lumus menyediakan makan malam kami. Sesungguhnya ikatan ukhwah yang akrab jelas terserlah sepanjang aktiviti ini dijalankan.

Kami bertolak pulang jam 11.00 malam. Satu cabaran lagi terpaksa dihadapi apabila ketika ingin mengisi minyak lori jabatan, bekalan diesel di beberapa stesen telah kehabisan stok. Berbekalkan tong, krew terpaksa mencari bekalan diesel di stesen yang lebih jauh. Kami hanya dapat memulakan kembali perjalanan pada jam 12 tengah malam.

1.37 pagi

Kami berhenti untuk berehat sekali lagi setibanya di Cameron Highland. Suhu yang sejuk sekitar 18˚c mencengkam diri hingga ke tulang hitam. Setelah menikmati secawan kopi panas kami meneruskan perjalanan pulang.

Kami tiba di Teluk Intan tepat jam 5.00 pagi. Bagi penulis pula, hanya tiba di rumah jam 5.30 pagi dan tidak sedarkan diri di dalam kereta sehinggalah dikejutkan isteri pada jam 7 pagi....

Kesimpulannya, konvoi misi ini adalah sesuatu yang dianggap bersejarah dan wajar dikenang sebagai salah satu momen penting di dalam kehidupan. Kita seringkali lupa diri semasa dalam keadaan selesa sedangkan ia tidak seharusnya berlaku. Berpandanglah kita ke kiri kanan, bertoleh bantu rakan-rakan sekiranya ada yang memerlukan.

Hulurkan tangan, ringankan beban.
























Salam hormat dari saya.
3.20 petang, 31 Januari 2015