...

SELAMAT DATANG KE www.helmy2u.blogspot.com...Selamat Kembali Team JPS HILIR PERAK: MISI BANTUAN BANJIR KELANTAN 2015... DARI TEAM helmy2u...

06 August 2013

Selepas 2 tahun.....

Dua tahun telah berlalu.Ya! Sudah dua tahun blog yang suatu ketika dahulu sangat meriah ini tidak dijenguk oleh empunya pemiliknya.Manakan tidak, kala si durjana Facebook menguasai arus permodenan sosial semasa, pemilik blog ini turut dibuai dan hanyut dibawa arusnya.

Dua tahun.Tempoh ini pun disedari kerana posting terakhir yang ditulis ialah Syawal pada 2011 masehi.Bermakna kini telah menjengah Syawal 1434h bersamaan 2013 masehi.Oh tidak, pantas masa berlalu kerana ketika posting terakhir tersebut penulis baru memiliki dua sahaja cahaya mata dan hari ini ketika posting ini ditulis penulis telah mempunyai 3 cahaya mata!

Ralat juga mencari menu untuk menulis post terbaru ini sementelah dua tahun dahulu penulis gigih menggalas dan menaip mengguna komputer riba tatkala mahu menukilkan sesuatu.Sangat berbeda sekali kerana penulisan posting terbaru ini sekadar menggunakan komputer tablet jenama sebiji buah yang telah sompek dikunyah!

Begitu juga menu blogspot yang telah berubah....ya, berubah sehingga penulis terpaksa mengeksplorasi kembali bait demi bait tampalan menu yang terhidang di paparan.Wajarlah nafsu untuk menukil tampak seakan suram dek kerana permodenan yang dibawa nyata agak menbataskan penulis untuk menguasainya dalam waktu singkat tatkala faktor umur yang kian mendaki.

Apapun, rasanya memadai setakat ini.Sekadar membuang habuk yang telah bersarang sekian lama.Terima kasih kepada yang sudi membaca tulisan ini.Jika ada kelapangan mungkin penulis akan terus setia meladeni blog ini bahkan juga mungkin sebaliknya setahun lagi baru kita akan ketemu kembali.

Dikesempatan di bulan mulia ini penulis dan keluarga mengucapkan selamat hari raya Aidilfitri kepada para pembaca.Pohon juga maaf zahir dan batin atas sebarang kesilapan yang dilakukan...secara sedar atau sebaliknya.

Ikhlas dari;

Muhammad Helmy el-Hady
Neesa Ibrahim
Qaseh Nur Abidah
Zahra Tasneem
Alya Hannani

25 August 2011

SALAM AIDILFITRI

Di kesempatan ini saya dan kelaurga mengucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri. Dipohon juga ampun dan maaf zahir batin di atas segala kesilapan yang telah dilakukan samadaa disedari atau tidak.

Semoga lebaran yang bakal menjelang akan memberi keinsafan kepada kita supaya bersederhana di dalam melakukan persiapan.

Kepada rakan-rakan blogger, facebook dan seluruhnya yang akan memandu untuk pulang ke kampung halaman masing-masing supaya berhati-hati di atas jalanraya dan sentiasa bersabar.Ingatlah orang yang tersayang.

Sehingga ini sahaja.Andai ada kelapangan jemputlah datang ke rumah.Sekian sahaja.

Selamat Hari Raya Aidilfitri!

Ikhlas;

Muhammad Helmy  Hj Mohammad Suhadi
Norhanisah Ibrahim
Qaseh Nur Abidah Muhamnmad Helmy
Zahra Tasneem Muhammad Helmy


20 January 2011

Perginya Seorang Prinsipal

Ya...mungkin beliau seperti orang-orang kampung lainnya.Berkebun dan menjalani kehidupan seharian seperti biasa.Seperti rata-rata penduduk kampung.

Namun nyatanya beliau lebih cenderung dilihat sebagai seorang yang berprinsip.Dari zaman mudanya waima hingga akhirnya.

Beliau memang seorang yang aktif berpolitik.Seantero daerah ini tahu benar tentang itu.Walau tidak pro-aspirasi, beliau tidak pernah menjadikan ia satu alasan untuk bermuhibah dengan masyrakat yang berbeza pendapat dengannya.

Dan  itu sebenarnya yang membuatkan penulis mengagumi beliau.Sedari dahulu hingga kini beliau menongkah arus atas nama perjuangan yang tulen.Bukan seperti sesetengah individu lain-tidak kira pro-aspirasi mahupun pembangkang yang mengejar pangkat dan harta kemewahan melalui parti tanpa menghiraukan erti perjuangan.Sekejap lompat sana sekejap lompat sini!

Benar, bahkan penulis sendiri sering berbeza pandangan mahupun pendapat dengan beliau.Namun tidak pernah terluahkan kerana penulis lebih kepada mendengar dan tersenyum.Penulis lipat dengan kemas di dalam hati.Penulis mengambil pendekatan tidak untuk membidas apatah lagi melawan pendapat beliau walaupun kadangkala masing-masing antara satu sama lain memang terdapat benar mahupun khilaf! Dan lagi sifat istiqomah perjuangan beliau sedari dahulu memang menobatkan peribadinya sebagai seorang yang berprinsip!

Bapa penulis bercerita betapa mereka pernah bekerja bersama dlam satu iklim yang sangat susah suatu masa dahulu.Ketika anak masing-masing masih terlalu kecil hinggalah apabila anak-anak yang dibesarkan serba kekurangan dahulu kini masing-masing telah berjaya di dalam kehidupan.Bapa penulis turut berkongsi warna warni kehidupan bersama beliau yang agak mengharukan untuk dikongsi di sini.

Seingat penulis kali terakhir beliau berkunjung menemui bapa penulis ialah pada waktu seusai solat maghrib beberapa bulan lalu atas sebab persahabatan yang peribadi.

Dan di dalam keheningan subuh tadi sekitar jam 5.00 pagi tadi beliau menghembuskan nafas terakhir untuk kembali menemui-Nya.Tiada lagi kelibat seorang lelaki tua bertongkat menyusuri jalan ke masjid.Tiada lagi kedengaran suaranya membaca ayat-ayat suci al-Quran berkumandang di desa ini.Tiada lagi suara tuanya melaungkan azan terutama di bulan Ramadhan sebaik sahaja masuk waktu berbuka.

Semoga Allah mencucuri rahmat ke atas rohnya....al-Fatihah.

*Beliau di dalam artikel di atas ialah Allahyarham Borhan Sidek atau Wak Bor yang telah menyahut penggilan Ilahi subuh tadi.


07 January 2011

A Story of Across Jungle (Hutan Melintang)

Pasaraya Billion
Dahulunya kawasan Hutan Melintang tiada apa-apa.Hanya kegiatan pertanian dan perikanan mendominasi sumber mata pencarian penduduk setempat.Tiada perindustrian atau kemudahan moden menempati sekitarnya.Untuk berurusan dengan agensi kerajaan mahupun swasta bukanlah satu kerja yang mudah.Apatah lagi untuk membeli-belah dan bersantai mengisi masa lapang hujung minggu.Justeru penduduk di kawasan ini (begitu juga dari Bagan Datoh) terpaksa ke Teluk Anson (kini Teluk Intan) untuk memenuhi keperluan-keperluan tertentu.

Masa berlalu silih berganti.Hutan Melintang (Pekan Simpang Empat) hari ini nyata telah berubah serubahnya.Disamping industri perladangan dan perikanan yang memang sudah sinonim, pemain-pemain industri perkilangan telah mula melabur di kawasan ini.Penempatan dan taman-taman perumahan tumbuh bagai ce dawan selepas hujan.


Salah sebuah hotel yang baru beroperasi

Kemudahan asas merangkumi infrasrtruktur awam disediakan oleh kerajaan bagi memenuhi keperluan penduduk setempat.Institusi perbankan,sekolah-sekolah dan gedung perniagaan ternyata memberi keselesaan kepada penduduk yang mana taburan kepadatan meningkat saban tahun.


Antara penanda aras kepada kemajuan di Hutan Melintang hari ini ialah kewujudan pasaraya membeli-belah seperti pasaraya Billion dan hotel-hotel.




Restoran makanan segera KFC yang mula beroperasi pada 1.1.11



Terbaru rangkaian restoran makanan segera terkenal, KFC telah memulakan operasinya pada 1.1.11 yang lalu.Bukankan ini membuktikan pelabur bermodal besar dari luar mula yakin dengan kepesatan pembangunan di sini?

Desas-desus yang kini bertiup kencang ialah pembukaan sebuah gedung tekstil terkenal, Jakel yang khabarnya akan membuka operasi perniagaannya di Wisma UMNO Bagan Datoh bagi menggantikan penyewa sebelumnya iaitu pasaraya yang telah tamat kontrak sewanya.

Tangki 1 juta gelen untuk menampung kepadatan penduduk sekitar


Dan lagi simbol yang menunjukkan populasi pertambahan penduduk ialah dengan siap terbinanya tangki air gergasi oleh Lembaga Air Perak (LAP) yang berkapasiti 1,000,000 gelen (1 juta gelen) !


Disebalik setiap kemasukan pelabur-pelabur bermodal besar yang mampu menyerap sebuah perniagaan mega itu, terselit keburukannya iaitu persaingan dengan peniaga-peniaga kecil seperti peruncit.


Apapun itulah harga yang tepaksa dibayar demi sebuah kemajuan.Banyak lagi keburukan kalau mahu dihuraikan di sini.Natijahnya Hutan Melintang hari ini lebih seronok namun gejala sosial nya pula tidak menyeronokkan.