Pagi tadi 5/11/2017 aku, isteri dan anak bongsu berkesempatan menjengah pasaraya ini yang akan menutup operasinya secara rasmi hari ini. Dalam gerimis dan hujan lebat berselang seli kami mengatur langkah menuju pintu utama kerana kereta diparkir agak jauh sementelah ramai yang menyerbu pasaraya ini hari ini.
Kami agak terkedu melihat ramai manusia di dalamnya memandangkan waktu operasi yang baru bermula. Namun tidak sedikitpun nafsu untuk membeli terangsang walaupun menyaksikan ratusan (atau mungkin ribuan) pengunjung berebut barang yang mungkin ditawarkn dengan harga termurah.
Kami datang hari ini pun hanyalah sekadar untuk ‘menunjuk muka’ kepada pasaraya ini yang pernah menjadi saksi ‘keber-dating-an’ kami berdua dalam musim-musim berkasih bertahun dahulu. Ironinya ia adalah satu ‘port’ yang kelihatan ‘sangat bandar’ ketika itu kerana fasa-fasa pembangunan di sekitar ini sebenarnya dimulakan oleh pasaraya ini jika tidak silap.
Lantaran itu, apabila diberitakan ia akan menutup operasinya kerana mengalami kerugian kami terpanggil untuk meluangkan masa ‘menzirahi’ sambil menyingkap kembali momen-momen terdahulu. Jujurnya sejak selepas berkahwin 10 tahun lalu kehadiran kami ke sini boleh dikira dengan jari. Apatah lagi di Teluk Intan juga telah terdapat Giant Teluk Intan. Hal ini kerana kewujudan pesaing lain yang ‘lebih gergasi’ berbanding ‘gergasi (Giant)’ ini sendiri seperti Tesco dan terkini Aeon yang telah berdiri dengan megahnya.
Beberapa kali terdengar pengumuman melalui pembesar suara berkenaan waktu operasi pada hari ini. Nyata sekali intonasi sang penyampai juga hanya mendatar dan tidak lagi bernada ceria. Sempat juga kami menemubual penyewa kiosk/kedai di luarnya dan mereka mengatakan akan tetap berniaga seperti biasa memandangkan tempoh sewaan yang belum tamat.
Apapun terima kasih kepada Giant Seri Manjung yang pernah menjadi sebahagian dari memori kami dalam menyulam hari-hari indah yang telah berlalu itu. . Diharapkan seluruh warga kerjanya akan terbela dan tidak hanya dibiarkan begitu sahaja.
Mungkin bukan hanya kami bahkan orang lain turut pernah ‘The Day We Find Love’ di premis ini....
No comments:
Post a Comment