...

SELAMAT DATANG KE www.helmy2u.blogspot.com...Selamat Kembali Team JPS HILIR PERAK: MISI BANTUAN BANJIR KELANTAN 2015... DARI TEAM helmy2u...

11 September 2024

Selepas Tujuh Tahun...

Assalamualaikum teman-teman. Entah apa sebab tidak boleh tidur awal walau sudah baca doa untuk 'mati sementara'.

Dan lagi takjub kenapa selepas 7 tahun tidak menjengah blog ini tiba-tiba terlintas kewujudannya yang mana segera dicapai ponsel untuk menjejak masih ada atau tidak alamat helmy2u.blogspot itu.

Allah Maha Besar. Allah jua Maha Berkuasa.

Banyak yang berlaku dalam tempoh 7 tahun ini. Antara paling besar yang mengubah perjalanan hidup aku  (7 tahun lepas membahasakan diri sebagai penulis) ialah pemergian ayahanda tercinta kepada Yang Maha Pencipta pada hari Nuzul Quran tahun 2022 masihi. Rindu yang tiada penghujung. Aku bersaksi kebaikan dan jasa tidak ternilai Almarhum bapak memandu kehidupan kami sekeluarga dengan penuh tanggungjawap dan ke arah keredhaan Allah SWT. ( Mohon hadiahkan bacaan Al- Fatihah)

Alhamdulillah juga pada awal tahun 2024 direzekikan mendapat jemputan sebagai tetamu Allah yakni mengerjakan umrah bersama isteri tersayang (InsyaAllah jika berkesempatan aku akan kongsikan perjalanan umrah di dalam artikel lain). Sesungguhnya perancangan Allah jua adalah perancangan terbaik.

Terlalu banyak kisah untuk dinukil. Warna warni hidup yang penuh kegembiraan, duka, menang, kalah, hampa, pengharapan silih berganti merupakan lumrah yang mesti dihadap selagi hayat dikandung badan. 

Semoga kita semua sentiasa di dalam limpahan rahmat dan kasih sayang Allah. 

Selamat malam.

11.33 malam



05 November 2017

Giant Seri Manjung: The Day We Find Love

Pagi tadi 5/11/2017 aku, isteri dan anak bongsu berkesempatan menjengah pasaraya ini yang akan menutup operasinya secara rasmi hari ini. Dalam gerimis dan hujan lebat berselang seli kami mengatur langkah menuju pintu utama kerana kereta diparkir agak jauh sementelah ramai yang menyerbu pasaraya ini hari ini.

Kami agak terkedu melihat ramai manusia di dalamnya memandangkan waktu operasi yang baru bermula. Namun tidak sedikitpun nafsu untuk membeli terangsang walaupun menyaksikan ratusan (atau mungkin ribuan) pengunjung berebut barang yang mungkin ditawarkn dengan harga termurah.

Kami datang hari ini pun hanyalah sekadar untuk ‘menunjuk muka’ kepada pasaraya ini yang pernah menjadi saksi ‘keber-dating-an’ kami berdua dalam musim-musim berkasih bertahun dahulu. Ironinya  ia adalah satu ‘port’ yang kelihatan ‘sangat bandar’ ketika itu kerana fasa-fasa pembangunan di sekitar ini sebenarnya dimulakan oleh pasaraya ini jika tidak silap.

Lantaran itu, apabila diberitakan ia akan menutup operasinya kerana mengalami kerugian kami terpanggil untuk meluangkan masa ‘menzirahi’ sambil menyingkap kembali momen-momen terdahulu. Jujurnya sejak selepas berkahwin 10 tahun lalu kehadiran kami ke sini boleh dikira dengan jari. Apatah lagi di Teluk Intan juga telah terdapat Giant Teluk Intan. Hal ini kerana kewujudan pesaing lain yang ‘lebih gergasi’ berbanding ‘gergasi (Giant)’ ini sendiri seperti Tesco dan terkini Aeon yang telah berdiri dengan megahnya.

Beberapa kali terdengar pengumuman melalui pembesar suara berkenaan waktu operasi pada hari ini. Nyata sekali intonasi sang penyampai juga hanya mendatar dan tidak lagi bernada ceria. Sempat juga kami menemubual penyewa kiosk/kedai di luarnya dan mereka mengatakan akan tetap berniaga seperti biasa memandangkan tempoh sewaan yang belum tamat.

Apapun terima kasih kepada Giant Seri Manjung yang pernah menjadi sebahagian dari memori kami dalam menyulam hari-hari indah yang telah berlalu itu. . Diharapkan seluruh warga kerjanya akan terbela dan tidak hanya dibiarkan begitu sahaja.

Mungkin bukan hanya kami bahkan orang lain turut pernah ‘The Day We Find Love’ di premis ini....

10 May 2016

Nota

Hari ni Qaseh dan Zahra balik lmbat dari sekolah. Ayah suruh sekolah agama tapi penat.  Zahra terus tidur di sofa. Qaseh pula melayan Alya main. Zahra bangun dah petang sangat. Hujan lebat. Qaseh lapar dan makan nasi sikit.

Lepas makan Qaseh lipat baju.Zahra pula terbalikkan baju untuk dilipat Qaseh. Qaseh cakap dah pandai lipat baju. Alya sepahkan baju yang dah dilipat. Qaseh dan Zahra marah Alya tp ayah marah Qaseh balik.

Lepas maghrib Qaseh dan Zahra mengaji. Alhamdulillah Qaseh sudah mengenal huruf dan bacaan lancar walau tajwid masih tunggang terbalik. Qaseh dah juzuk 5. Allah bagi Qaseh terang hati untuk mengaji. Sekurangnya bila ayah dah takde nanti Qaseh boleh ngaji.

Masa makan malam Qaseh tengok je. Ayah suruh Qaseh makan lagi. Lepas tu Qaseh belajar sikit pasal ada exam  besok.

Zahra meragam tak nak tidur pasal tidur siang lama. Ayah marah Zahra suruh tidur. Ayah menyesal marah zahra. Zahra tidur mesti sambil kecewa dengan ayah.

Ayah marah pasal bingung. Banyak baca tip ibubapa tapi tak ikut.Baca tip interaksi dengan anak tapi sekadar baca. Baca cara mendidik anak tapi tak hayati.Baca sekadar baca.

04 February 2015

KENDURI: The Untold Story


Senario 1: 
Kawan: weekend ni joint kitorang punya trip nak bro?
Aku: Sorry bro, aku ada......kenduri (lama nak sebut)
Kawan: what? Tak habis lagi ke kenduri? Ha, pergilah kenduri kau tu!

Senario 2:
Isteri: Dah bersusun kad tu...ai bila la kite nak balik rumah opah ye Qaseh (anak sulung aku bernama Qaseh-nada suara lain macam)
Aku: errrr........

Senario 3:
Lama dulu seseorang......(aku tinggalkan kisah ini hanya untuk pengetahuan aku dan ibu aku)

Aku tinggal di kampung. Asal memang dari kampung. Rezeki aku dapat tempat kerja pun boleh berulang alik dari kampung. Tak pernah aku malu mengaku dari kampung. Bahkan bangga. Mungkin kerana aku 'anak emak'. Tak boleh berenggang dengan emak :-) 

Ironinya aku kahwin dengan orang bandar. Study dulu pun kat Kay El. One thing syukur sangat bila dia sedia duduk serumah dengan ibubapaku di KAMPUNG! 

Apa kaitan tajuk, senario dan mukadimah ini???

Bila duduk di kampung, automatik hidup bermasyarakat adalah satu kepraktikalan yang harus dilalui. Melainkan anda orang yang anti sosial. Antara praktikal kehidupan kampung yang paling signifikan ialah berkenduri kendara terutama kenduri kahwin. 

Walaupun kegiatan katering kian mendominasi kenduri di kampung hari ini, namun di kawasan kejiranan aku, aktiviti rewang, kendara, gotong royong, 'gejobos' atau 'lagan' masih cuba untuk dikekalkan kerana seperti kata kata klise yang sering dilemparkan, ia adalah untuk merapatkan silaturrahim, ukhwah, mencetus kemeriahan dan pelbagai perkara positif lainnya.

Beberapa hari sebelum sesuatu kenduri, tuan rumah yang berhajat akan mengadakan kenduri doa selamat/tahlil (kenduri lagi) dan mesyuarat agihan tugas. Bagi aku tugas yang lazim diberi ialah front liner (uruskan kemah tetamu supaya sentiasa baik dan lauk pauk di dulang buffet mencukupi).

Penat memanglah penat namun apabila melihat tuan rumah senyum dan menghargai kewujudan kita ia sudah memadai. Apatah lagi gotong royong ini ialah sebenarnya rotation kerana jika kita pula yang kenduri, mereka pula akan membantu kita. Ketika ini jugalah dapat berbual mesra dengan masyarakat sekampung tentang pelbagai kisah dan ceritera.Maklum aku di kampung sangat low profile dan kalau aku bagitau yang aku ni sering mengacara majlis program di jabatan mampuslah mereka ni nak percaya dek kesantunan aku di kampung kah kah kah!

Itu baru cerita pasal gotong royong. Belum lagi jemputan oleh rakan ibu bapaku yang juga aku terpaksa pergi walau tidak kenal mereka. Sekarang majoriti rakan ibu bapaku telah dikenali. Tu yang aku kena jaga reputasi di dalam daerah. 

Tidak dapat disangkal, sebahagia mana kehidupan rumahtangga, kadangkala jemputan yang terlalu banyak ini boleh juga menyebabkan aku dengan isteri bertentangan angin. Ini kerana masa kualiti yang sepatutnya digunakan untuk menelusuri erti libur menjadi terhad dan kadangkala tiada. Misalnya dua ke tiga minggu akan datang ini memang kami tidak sempat untuk bersantai hujung minggu dek kerana kenduri! Namun dalam banyak hal, seiring faktor usia isteri sudah memahami dan aku banyak berterima kasih kerana beliau memahami yang aku bukan milik dia seorang tetapi milik banyak pihak (iyolah tu)

Aku tulis artikel ni bukan untuk mengarahkan manusia lain membacainya.Memadailah rakan yang sering keliru (atau celaru) mempertikai kadar kekerapan kenduri yang aku hadapi faham dan menerima sedikit input tentang rasionalisasi dan signikan kenduri dalam kehidupan mingguan aku.

Sungguh aku tak salahkan mereka kerana mereka tinggal di taman di bandar yang mungkin agak kurang terdedah dengan kegiatan seperti ini. Kalau ada mungkin sekali sekala.

Setakat ini mungkin cukup untuk pencerahan. Artikel ini ditulis dalam masa yang singkat. Jadi usah pertikai keberadaan masa aku untuk menulisnya. Lagipun aku menaip di iPad sambil berbaring di sofa. Tiada yang pelik ya.

Selamat membaca kepada yang sudi.


31 January 2015

Hari Itu Telah Berlalu : Misi Bantuan Banjir Kelantan 2015

29 Januari 2015 , Khamis

7.40 pagi

Pagi itu nyaman sekali. Perjalanan penuh bererti ini dimulakan usai flag off oleh Puan Marenawati yang juga penaung misi. Terdahulu, bacaan doa memohon keselamatan diketuai oleh Zainal dan sedikit ucapan ringkas kepada krew telah disampaikan.



9.15 pagi


Konvoi keluar di exit Simpang Pulai setelah memasuki lebuh raya Utara Selatan melalui tol Tapah tadi.Kami berhenti rehat sebentar di Stesen Petronas Simpang Pulai sebelum memulakan perjalanan semula pada jam 10.00 pagi. Masa yang diambil agak lama kerana menanti  salah sebuah lori yang tersilap memasuki exit Gopeng.

11.04 pagi

Kami tiba di Cameron Highland. Konvoi meneruskan perjalanan melalui laluan Gua Musang. Cuaca sangat baik. Beberapa orang dari kalangan krew menyatakan bahawa ini kali pertama melalui laluan ini. Untuk makluman pembaca, laluan ini lengang dan jarang berselisih dengan kenderaan lain. Kami menempuh beberapa lokasi tanah runtuh- sebahagian sedang di dalam kerja penstabilan cerun. Kami juga melalui dua lokasi kenderaan terbakar ( entah sejak bila). Jika anda pernah menonton filem The Book of Eli lakonan Denzel Washington, tentu anda dapat membayangkan satu jalan yang sepi dengan bangkai kenderaan berkarat dengan kesan terbakar...

12.53 tengahari

Kami selamat tiba di Gua Musang. Hajat di hati untuk menyingkir sisa perkumuhan di sebuah tandas awam di satu lokasi bandar ini terbantut apabila ia dikunci rapi tanpa sebarang notis. Kesudahannya krew merangkap chef iaitu Hamdan dan Azwan mengambil keputusan menyediakan juadah makan tengahari di situ. Menu ialah nasi lemak yang hangat. Berlantaikan rumput berbumbungkan pokok- kami menikmatinya dengan penuh menyelerakan. Kami sekali lagi berhenti rehat di hentian RR Gua Musang untuk bersolat.

3.28 petang

Kami tiba di Kampung Laloh, Kuala Krai iaitu lokasi sasaran kami untuk mengagihkan barang sumbangan yang dibawa. Sebelum tiba di sini kami terlebih dahulu dihidangkan dengan pemandangan sekitar yang sangat menyentuh tangkai hati.


Kesan banjir yang masih jelas hari ini sungguh dahsyat dan kami tidak dapat membayangkan bagaimana situasi ketika musibah tersebut berlaku.

Khemah-khemah kecil yang dihuni sebagai tempat perlindungan sementara mangsa yang kehilangan rumah melatari pemandangan di kiri kanan jalan yang dilalui.

Lokasi yang dituju kami boleh dikatakan agak padat dan berdasarkan perbualan dengan penduduk di sini, jumlah rumah yang musnah sama sekali ialah sebanyak 84 buah.

Kampung Laloh ini adalah diantara lokasi yang paling teruk terjejas selepas Manik Urai. Mengikut perancangan awal, misi ini dicadangkan untuk diadakan di Manik Urai, namun maklumat saat akhir yang diterima mengatakan seorang pembesar negara dalam rangka lawatan ke sana yang mungkin akan berlaku kesesakan menyebabkan kami beralih arah ke sini. Ada hikmah di setiap perkara yang berlaku.


Ketika kami tiba terdapat juga pihak lain dari luar yang turut menghulurkan bantuan sumbangan seperti dari Majlis Agama Islam Negri Sembilan.

Proses pengagihan barangan dilakukan dengan lori jabatan yang membawa muatan bergerak melalui dari rumah ke rumah (dan juga bekas tapak rumah) mangsa. Pendekatan ini mungkin berbeza dengan penyumbang lain yang hanya menempatkan sumabangan di pusat pengumpulan. Hasrat kami hanya satu- melihat dengan mata sendiri sumbangan para dermawan sampai ke tangan penerima yang disasarkan.
Pelbagai sumbangan yang diterima seperti cadar TOTO, bahan pencuci, selipar, air mineral dan pelbagai barangan lain.

Menatap wajah suci kanak-kanak yang sangat gembira sewaktu menerima alatulis dari krew membuatkan kami hampir tewas menahan empangan air mata dari pecah. Juga merenung kesayuan wajah makcik, pakcik dan abang, kakak, adik di sini semuanya memerlukan kami untuk kuat dari terus larut dalam emosi.

Tidak tergambar kepayahan yang ditanggung mereka namun sekurang-kurangnya keberadaan kami di sini dalam masa yang sangat singkat bisa sedikit membantu mereka untuk meniti hari esok dan yang mendatang.
Kami sempat berbual dengan seorang pakcik yang sangat berterima kasih dengan kehadiran kami yang turut membawa air mineral. Beliau memberitahu ada pihak menjual setangki air paip dalam keadaan sekarang dengan harga sehingga RM 50.

Mengimbas detik mencemaskan ketika banjir itu, pakcik itu mengungkapkan rasa gerun kerana sepanjang tempoh lebih kurang 30 tahun menetap di situ, kejadian ini merupakan kali pertama berlaku sebegini dahsyat. Paras air meningkat setinggi 3 kaki dalam tempoh setiap jam hingga mencecah ketinggian tingkat 2 bangunan sekolah di situ.

Bantuan juga tidak dapat diselaras dengan sempurna kerana kekurangan aset ditambah paras air yang meningkat secara mendadak.

Hujan yang turun ketika pengagihan sumbangan sedikit pun tidak mematahkan semangat kami.Bahkan kami terus bersemangat mendekati penduduk.

Nyata wajah kepuasan yang tidak dapat digambarkan terserlah di setiap kami hinggalah semua barangan berjaya diserahkan menjelang jam 6 petang.

Kami tinggalkan Kampung Laloh sekitar jam 6.30 petang dengan sejuta kenangan manis. Kami singgah semula di hentian RR Gua Musang untuk membersihkan diri, solat dan memasak untuk makan malam. Salah seorang krew bernama Muzri mempamerkan kepakarannya menyediakan hidangan BBQ sebagai 'hadiah' penat lelah kami disebelah petang tadi. Tidak ketinggalan Hamdan dan Azwan yang bertungkus lumus menyediakan makan malam kami. Sesungguhnya ikatan ukhwah yang akrab jelas terserlah sepanjang aktiviti ini dijalankan.

Kami bertolak pulang jam 11.00 malam. Satu cabaran lagi terpaksa dihadapi apabila ketika ingin mengisi minyak lori jabatan, bekalan diesel di beberapa stesen telah kehabisan stok. Berbekalkan tong, krew terpaksa mencari bekalan diesel di stesen yang lebih jauh. Kami hanya dapat memulakan kembali perjalanan pada jam 12 tengah malam.

1.37 pagi

Kami berhenti untuk berehat sekali lagi setibanya di Cameron Highland. Suhu yang sejuk sekitar 18˚c mencengkam diri hingga ke tulang hitam. Setelah menikmati secawan kopi panas kami meneruskan perjalanan pulang.

Kami tiba di Teluk Intan tepat jam 5.00 pagi. Bagi penulis pula, hanya tiba di rumah jam 5.30 pagi dan tidak sedarkan diri di dalam kereta sehinggalah dikejutkan isteri pada jam 7 pagi....

Kesimpulannya, konvoi misi ini adalah sesuatu yang dianggap bersejarah dan wajar dikenang sebagai salah satu momen penting di dalam kehidupan. Kita seringkali lupa diri semasa dalam keadaan selesa sedangkan ia tidak seharusnya berlaku. Berpandanglah kita ke kiri kanan, bertoleh bantu rakan-rakan sekiranya ada yang memerlukan.

Hulurkan tangan, ringankan beban.
























Salam hormat dari saya.
3.20 petang, 31 Januari 2015












06 August 2013

Selepas 2 tahun.....

Dua tahun telah berlalu.Ya! Sudah dua tahun blog yang suatu ketika dahulu sangat meriah ini tidak dijenguk oleh empunya pemiliknya.Manakan tidak, kala si durjana Facebook menguasai arus permodenan sosial semasa, pemilik blog ini turut dibuai dan hanyut dibawa arusnya.

Dua tahun.Tempoh ini pun disedari kerana posting terakhir yang ditulis ialah Syawal pada 2011 masehi.Bermakna kini telah menjengah Syawal 1434h bersamaan 2013 masehi.Oh tidak, pantas masa berlalu kerana ketika posting terakhir tersebut penulis baru memiliki dua sahaja cahaya mata dan hari ini ketika posting ini ditulis penulis telah mempunyai 3 cahaya mata!

Ralat juga mencari menu untuk menulis post terbaru ini sementelah dua tahun dahulu penulis gigih menggalas dan menaip mengguna komputer riba tatkala mahu menukilkan sesuatu.Sangat berbeda sekali kerana penulisan posting terbaru ini sekadar menggunakan komputer tablet jenama sebiji buah yang telah sompek dikunyah!

Begitu juga menu blogspot yang telah berubah....ya, berubah sehingga penulis terpaksa mengeksplorasi kembali bait demi bait tampalan menu yang terhidang di paparan.Wajarlah nafsu untuk menukil tampak seakan suram dek kerana permodenan yang dibawa nyata agak menbataskan penulis untuk menguasainya dalam waktu singkat tatkala faktor umur yang kian mendaki.

Apapun, rasanya memadai setakat ini.Sekadar membuang habuk yang telah bersarang sekian lama.Terima kasih kepada yang sudi membaca tulisan ini.Jika ada kelapangan mungkin penulis akan terus setia meladeni blog ini bahkan juga mungkin sebaliknya setahun lagi baru kita akan ketemu kembali.

Dikesempatan di bulan mulia ini penulis dan keluarga mengucapkan selamat hari raya Aidilfitri kepada para pembaca.Pohon juga maaf zahir dan batin atas sebarang kesilapan yang dilakukan...secara sedar atau sebaliknya.

Ikhlas dari;

Muhammad Helmy el-Hady
Neesa Ibrahim
Qaseh Nur Abidah
Zahra Tasneem
Alya Hannani

25 August 2011

SALAM AIDILFITRI

Di kesempatan ini saya dan kelaurga mengucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri. Dipohon juga ampun dan maaf zahir batin di atas segala kesilapan yang telah dilakukan samadaa disedari atau tidak.

Semoga lebaran yang bakal menjelang akan memberi keinsafan kepada kita supaya bersederhana di dalam melakukan persiapan.

Kepada rakan-rakan blogger, facebook dan seluruhnya yang akan memandu untuk pulang ke kampung halaman masing-masing supaya berhati-hati di atas jalanraya dan sentiasa bersabar.Ingatlah orang yang tersayang.

Sehingga ini sahaja.Andai ada kelapangan jemputlah datang ke rumah.Sekian sahaja.

Selamat Hari Raya Aidilfitri!

Ikhlas;

Muhammad Helmy  Hj Mohammad Suhadi
Norhanisah Ibrahim
Qaseh Nur Abidah Muhamnmad Helmy
Zahra Tasneem Muhammad Helmy


20 January 2011

Perginya Seorang Prinsipal

Ya...mungkin beliau seperti orang-orang kampung lainnya.Berkebun dan menjalani kehidupan seharian seperti biasa.Seperti rata-rata penduduk kampung.

Namun nyatanya beliau lebih cenderung dilihat sebagai seorang yang berprinsip.Dari zaman mudanya waima hingga akhirnya.

Beliau memang seorang yang aktif berpolitik.Seantero daerah ini tahu benar tentang itu.Walau tidak pro-aspirasi, beliau tidak pernah menjadikan ia satu alasan untuk bermuhibah dengan masyrakat yang berbeza pendapat dengannya.

Dan  itu sebenarnya yang membuatkan penulis mengagumi beliau.Sedari dahulu hingga kini beliau menongkah arus atas nama perjuangan yang tulen.Bukan seperti sesetengah individu lain-tidak kira pro-aspirasi mahupun pembangkang yang mengejar pangkat dan harta kemewahan melalui parti tanpa menghiraukan erti perjuangan.Sekejap lompat sana sekejap lompat sini!

Benar, bahkan penulis sendiri sering berbeza pandangan mahupun pendapat dengan beliau.Namun tidak pernah terluahkan kerana penulis lebih kepada mendengar dan tersenyum.Penulis lipat dengan kemas di dalam hati.Penulis mengambil pendekatan tidak untuk membidas apatah lagi melawan pendapat beliau walaupun kadangkala masing-masing antara satu sama lain memang terdapat benar mahupun khilaf! Dan lagi sifat istiqomah perjuangan beliau sedari dahulu memang menobatkan peribadinya sebagai seorang yang berprinsip!

Bapa penulis bercerita betapa mereka pernah bekerja bersama dlam satu iklim yang sangat susah suatu masa dahulu.Ketika anak masing-masing masih terlalu kecil hinggalah apabila anak-anak yang dibesarkan serba kekurangan dahulu kini masing-masing telah berjaya di dalam kehidupan.Bapa penulis turut berkongsi warna warni kehidupan bersama beliau yang agak mengharukan untuk dikongsi di sini.

Seingat penulis kali terakhir beliau berkunjung menemui bapa penulis ialah pada waktu seusai solat maghrib beberapa bulan lalu atas sebab persahabatan yang peribadi.

Dan di dalam keheningan subuh tadi sekitar jam 5.00 pagi tadi beliau menghembuskan nafas terakhir untuk kembali menemui-Nya.Tiada lagi kelibat seorang lelaki tua bertongkat menyusuri jalan ke masjid.Tiada lagi kedengaran suaranya membaca ayat-ayat suci al-Quran berkumandang di desa ini.Tiada lagi suara tuanya melaungkan azan terutama di bulan Ramadhan sebaik sahaja masuk waktu berbuka.

Semoga Allah mencucuri rahmat ke atas rohnya....al-Fatihah.

*Beliau di dalam artikel di atas ialah Allahyarham Borhan Sidek atau Wak Bor yang telah menyahut penggilan Ilahi subuh tadi.


07 January 2011

A Story of Across Jungle (Hutan Melintang)

Pasaraya Billion
Dahulunya kawasan Hutan Melintang tiada apa-apa.Hanya kegiatan pertanian dan perikanan mendominasi sumber mata pencarian penduduk setempat.Tiada perindustrian atau kemudahan moden menempati sekitarnya.Untuk berurusan dengan agensi kerajaan mahupun swasta bukanlah satu kerja yang mudah.Apatah lagi untuk membeli-belah dan bersantai mengisi masa lapang hujung minggu.Justeru penduduk di kawasan ini (begitu juga dari Bagan Datoh) terpaksa ke Teluk Anson (kini Teluk Intan) untuk memenuhi keperluan-keperluan tertentu.

Masa berlalu silih berganti.Hutan Melintang (Pekan Simpang Empat) hari ini nyata telah berubah serubahnya.Disamping industri perladangan dan perikanan yang memang sudah sinonim, pemain-pemain industri perkilangan telah mula melabur di kawasan ini.Penempatan dan taman-taman perumahan tumbuh bagai ce dawan selepas hujan.


Salah sebuah hotel yang baru beroperasi

Kemudahan asas merangkumi infrasrtruktur awam disediakan oleh kerajaan bagi memenuhi keperluan penduduk setempat.Institusi perbankan,sekolah-sekolah dan gedung perniagaan ternyata memberi keselesaan kepada penduduk yang mana taburan kepadatan meningkat saban tahun.


Antara penanda aras kepada kemajuan di Hutan Melintang hari ini ialah kewujudan pasaraya membeli-belah seperti pasaraya Billion dan hotel-hotel.




Restoran makanan segera KFC yang mula beroperasi pada 1.1.11



Terbaru rangkaian restoran makanan segera terkenal, KFC telah memulakan operasinya pada 1.1.11 yang lalu.Bukankan ini membuktikan pelabur bermodal besar dari luar mula yakin dengan kepesatan pembangunan di sini?

Desas-desus yang kini bertiup kencang ialah pembukaan sebuah gedung tekstil terkenal, Jakel yang khabarnya akan membuka operasi perniagaannya di Wisma UMNO Bagan Datoh bagi menggantikan penyewa sebelumnya iaitu pasaraya yang telah tamat kontrak sewanya.

Tangki 1 juta gelen untuk menampung kepadatan penduduk sekitar


Dan lagi simbol yang menunjukkan populasi pertambahan penduduk ialah dengan siap terbinanya tangki air gergasi oleh Lembaga Air Perak (LAP) yang berkapasiti 1,000,000 gelen (1 juta gelen) !


Disebalik setiap kemasukan pelabur-pelabur bermodal besar yang mampu menyerap sebuah perniagaan mega itu, terselit keburukannya iaitu persaingan dengan peniaga-peniaga kecil seperti peruncit.


Apapun itulah harga yang tepaksa dibayar demi sebuah kemajuan.Banyak lagi keburukan kalau mahu dihuraikan di sini.Natijahnya Hutan Melintang hari ini lebih seronok namun gejala sosial nya pula tidak menyeronokkan.



01 January 2011

31.12.2010 - Suatu Kronologi

0830 PM - 30.12.10

Malam itu seusai tiba di rumah sedari menjelajah satu bandar Teluk Intan masing-masing telah lelah.Barangan yang dibeli diletak di penjuru dapur sebelum dikemas oleh adik.Letih menguasai diri mencari parkir untuk menikmati hidangan yang diidam isteri (sebelum berpantang bersalin) masih terasa menyucuk urat-urat satu badan.

1030 PM - 30.12.10

Setelah menutup wi-fi router, masing-masing terkedip menahan mata yang berat.Akhirnya dek kerana letih penulis dan isteri terus lena dibungkus mimpi....oh malam Jumaat!

1205 AM - 31.12.10

Penulis yang sedang lena terpisat-pisat bangun dikejutkan isteri.Merenung ke jam baru jam 12 tengah malam.Isteri berkata air ketuban telah pecah! Demi Allah penulis menjadi sangat panik ketika itu.Walaupun sebelum ini telah bersedia dengan segala kemungkinan, namun kalau dah gelabah tu memang gelabah lah!

Isteri sempat berbisik mengatakan baby tak nak lahir tahun 2011 huhuhu...

Mahu mencari seluar untuk dipakai pun seperti tidak akan berjumpa apatah lagi menyiapkan peralatan isteri.Mujur dia telah siap mengemas segala keperluan di dalam begnya.

Mujur juga EQaseh tidak terjaga ketika situasi kelam kabut itu.Penulis terpaksa mengejutkan ibubapa untuk memaklumkan keadaan dan seterusnya menemani Qaseh tidur.

Enjin kereta di start, pedal minyak ditekan semahunya.Lampu isyarat kecemasan dinyalakan namun beberapa pemandu bengong tetap tidak faham betapa kami kena segera sampai di hospital! Rasanya pemandu yang tidak memberi laluan walau telah diberi isyarat lampu tinggi itu adalah sangat bebal.

Penulis berselawat dan berdoa namun genggaman erat tangan isteri pada tangan penulis disamping nada suaranya sangat meng'gelabah'kan penulis menempuh perjalanan sejauh 21 kilometer dari rumah ke hospital itu!

1235 AM - 31.12.10

Kami selamat sampai ke wad bersalin Hospital Teluk Intan.Check-in dan isteri terus dimasukkan ke dalam ruang menunggu di dewan bersalin.

1250 AM

Ibu mertua dan adik ipar tiba.Ibu mertuaku membaca yasin dan aku pula sempat tidur sekejap kerana hampir pengsan menahan ngantuk.

0130 AM

Ke 7-Eleven membeli air mineral, deodorant dan minyak rambut.Risau kalau terpaksa menuggu lama hingga ke besok pagi di mana badan akan rasa tidak terurus (rambut adalah sangat kering kerana baru lepas bersyampu).Oh ya gula-gula mint untuk kesegaran mulut kerana tidak menggosok gigi turut dibeli!

0236 AM

Isteri ku selamat melahirkan puteri.

0530 AM

Aku sampai di rumah semula.Tidur dan bangun pukul 8.30 pagi....

Sekilas...

Tahun Baru 2011

Berhabuk! Itu ungkapan yang agak tepat untuk menggambarkan betapa blog ini semakin jarang dikemaskini dan dimuatkan dengan artikel-artikel baru.

Entah kenapa sifat malas semakin menguasai diri.Mungkin kesibukan seharian menyebabkan mood menulis di dalam blog semakin terhakis.Mahu membaca akhbar hujung minngu pun mengambil masa seeminggu!

Apapun sempena tahun 2011 ini, penulis mengambil kesempatan untuk mengucapkan selamat tahun baru.Semoga tahun ini akan lebih baik dari tahun sebelumnya! Berazamlah apa sahaja pun selagi azam terdahulu telah sedaya upaya dilaksanakan.

Tahun 2010

2010 melabuhkan tirainya semalam dengan seribu satu suka suka mewarnai kehidupan kita.Secara peribadi 2010 menjadi kayu ukur kemampuan kepada penulis mencuba sesuatu yang sebelum ini sangat asing.

Penulis telah menceburi bidang perniagaan walaupun sebelum ini tidak pernah menceburi secara serius.Walaupun bukan di dalam skala yang besar, ia benar-benar menguji kemampuan dan kesabaran serta pahit manis menepuh alam perniagaan.

Walaupun keuntungan yang diperoleh tidak seperti perniagaan lainnya, ia menjadikan penulis faham serba sedikit ilmu berniaga.Perniagaan yang diceburi ialah menjual produk keluaran Sime Darby iaitu Sunrise Pink Guava (Jus jambu batu merah jambu).Kepada yang berminat bolehlah menghubungi penulis.

Tahun 2010 juga mencatat peristiwa besar di dalam hidup penulis apabila anak kedua penulis dilahirkan di penghujung tahun ini iaitu 31.12.10 pada jam 2.36 pagi.Walau terlepas peluang untuk mendapat tarikh 1.1.11, Alhamdulillah semua telah selamat.Mungkin baby mahu lahir pada hari yang mulia iaitu pada hujung tahun yang kebetulan jatuh pada hari Jumaat.Nama baby tersebut akan diumumkan secara rasmi pada satu sidang media yang akan diadakan nanti.


10 December 2010

SELAMAT KEMBALI

Penulis ingin mengucapkan selamat kembali ke tanah air kepada ayahanda serta rombongan haji dari tanah suci Mekah.Beliau dan rombongannya selamat tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) kira-kira jam 6.30 pagi tadi setelah menempuh perjalanan panjang selama hampir sembilan jam.Sebelum itu penerbangan telah tertangguh selama hampir 7 jam di mana jadual asal ketibaan ialah 12.30 pagi.

Alhamdulillah, kami selamat sampai di rumah kira-kira jam 12.30 tengahari yang sejurus kemudian tiba waktu solat Jumaat.Semoga ibadah haji yang ditunaikan ialah haji yang mabrur.Dan semoga kepada yang belum pernah tiba di Mekah akan menanam impian untuk melangkah ke sana suatu hari kelak samada untuk umrah ataupun menunaikan haji.

-MUHAMMAD HELMI BIN HAJI MOHAMMAD SUHADI

12 October 2010

Bayangan Maut

Anda pernah terlintas beranggapan akan mati semasa terlibat dengan sesuatu atau mengalami insiden tertentu?

Syawal lalu menyaksikan seorang rakan sekampung kembali menyahut seruan Ilahi tanpa sebarang tanda awal.Keluar pagi untuk bekerja tanpa menyangka sakaratul maut akan menjemputnya!Benarlah...sesungguhnya ajal kita nanti tidak akan awal atau lewat walau sesaat.

Namun sejauh mana kita bersedia menghadapi detik tersebut?Mungkin di dalam usia muda kita sering kali beranggapan ajal menjemput sesudah usia menjengah ke tua.Namun perasankah anda bahawa trend terkini menunjukkan golongan muda ramai yang mati awal berbanding yang telah berusia?Termasuklah rakan penulis tadi yang masih di pertengahan 30-an.Selain sakit ramai yang mati kerana kemalangan dan insiden-insiden lain.

Di sinilah pentingnya kita menyediakan diri untuk menghadapi saat nyawa bercerai dari badan.Faktor kesihatan memanglah menjadi pokok utama apabila mengaitkan sesuatu kematian.Lantas faktor pemakanan yang 'main bedal' sentiasa menjadi titik sentuh perbincangan walaupun ia diakui mengandungi kebenaran yang sukar dinafikan.

Pengalaman penulis baru-baru ini semasa membeli-belah di Ipoh bersama keluarga benar-benar membuka minda tentang hakikat kematian.Penulis yang sedang memilih barang tiba-tiba berpinar dan silau.Jika sebelum ini penulis tidak pernah memikirkan apa-apa namun pada masa tersebut penulis hanya mampu mengucap sebelum terduduk di kerusi yang berhampiran.Mujur isteri penulis tenang (tidak pasti kenapa beliau terlalu tenang sedangkan penulis bukan banyak harta yang mahu diwasiatkan :-) kerana jika tidak pasti keadaan akan heboh.Penulis hanya memikirkan mati sahaja.Kemudian ibubapa yang berada di Teluk Intan yang pastinya akan lebih sukar.

Alhamdulillah, penulis masih diberi peluang untuk bernafas sehingga hari ini.Namun seperti lagi pemikiran orang lain yang tabu, penulis masih takut untuk menjalani pemeriksaan kesihatan ekoran insiden itu.Satu persatu andaian negatif timbul andai pemeriksaan tersebut dilakukan.

*Sehingga hari ini penulis masih mencari kekuatan untuk melakukan pemeriksaan kesihatan-merokok pun sudah kurang sangat.

Kelestarian Alam & Kemajuan Kejuruteraan

Sedikit sebanyak kerjaya penulis ini mendekatkan diri untuk memahami kelestarian alam yang semestinya menjadi sahabat kepada kita.

Sebagai contoh, rasa insaf yang membuak-buak akan menyelinap di sudut hati apabila menyaksikan segala kemahiran kejuruteraan yang dipraktikkan untuk mencegah hakisan pantai runtuh atau lenyap sekelip mata hanya apabila kuasa Ilahi menitipkan ombak dan angin.

Sebagai manusia seharunya kita bersyukur dengan segala kurniaan dari-Nya hatta walaupun ia nampak tidak memberi kebaikan kepada kita pada mulanya.Pesisir pantai diceroboh hanya untuk sekelumit nilai pembangunan tapi sebenarnya harga yang sangat mahal terpaksa dibayar andai alam mulai marah kepada kita!

Badai melanda sehingga mengakibatkan banjir besar yang memusnahkan ribuan hektar ladang kelapa di daerah ini sekitar 1995 merupakan pengajaran di atas kesilapan yang dilakukan manusia.Kesan yang masih jelas kelihatan sehingga hari ini sebenarnya sangat menginsafkan kepada insan-insan yang berakal.Tunggul-kelapa yang sebahagiannya masih kelihatan hari ini menjadi saksi sejauh mana kita berusaha untuk mempraktikkan teknologi sediada namun biarlah ianya seiring dengan iltizam bertawakkal kerana Allah di dalam melaksanakan serba-serbi perkara.

Ironinya, walaupun ratusan juta dibelanjakan untuk mencegah hakisan ini, namun jika segelintir manusia masih lagi berpihak kepada untung semata-mata, percayalah suatu hari nanti tiada apa lagi yang mampu diwariskan kepada generasi anak cucu kita di masa hadapan.

Kita,Masa dan Musim...

Allahuakbar, Subhanallah, Alhamdulillah...

Assalamualaikum...

Syukur ke hadrat Ilahi kerana dengan limpah kurnianya saya masih diberi kesempatan untuk mencoret di dalam blog yang sudah sekian lama tidak dikemaskini ini.Ini pun kerana penulis mencuri masa sementara menunggu isteri yang sedang menunggu giliran untuk pemeriksaan di klinik mengandung.

Syawal sudah berakhir Jumaat yang lalu dan kini telah memasuki bulan Zulkaedah di mana musim haji telah bermula dengan penerbangan pertama ke tanah suci Mekah mulai minggu lepas.Kebetulan bapa penulis juga akan berangkat ke tanah suci Insya'Allah pada 28 Oktober ini.

Masa berlalu dengan pantas dan sekarang kita berada di hujung-hujung tahun 2010.Berbagai peristiwa berlaku terutama musim air pasang besar baru-baru ini yang sedikit sebanyak memberi kesan kepada penduduk di daerah ini.

Ia menyebabkan penulis sentiasa terpaksa standby di musim-musim sebegini.Alhamdulillah ia semakin pulih dan bulan november ini dijangka musim hujan pula akan tiba.Begitulah istimewanya negara yang beriklim khatulistiwa di mana musin panas dan hujan yang berlaku sepanjang tahun.


09 September 2010

SALAM AIDILFITRI

Assalamualaikum...Sempena hari baik bulan baik ini penulis dan keluarga memohon keampunan andai terdapat salah silap samada yang disedari atau tidak dilakukan kepada anda.Marilah kita memanafaatkan kesempatan di bulan yang mulia ini untuk saling berkunjung dan bermaafan sesama saudara dan handai taulan.

Penulis juga menjemput anda untuk berkunjung ke kediaman penulis andai ada kelapangan.Akhir kalam, salam Aidilfitri dan maaf zahir batin daripada kami sekeluarga.

muhd helmi mohd suhadi
norhanisah ibrahim
qaseh nur abidah muhd helmi

13 August 2010

AHLAN WASAHLAN RAMADHAN

Penulis sekeluarga ingin mengucapkan selamat menjalani ibadah puasa di bulan Ramadhan yang mulia kepada semua pembaca blog ini.

Semoga puasa kita pada tahun ini lebih baik dari tahun-tahun yang lalu.

31 July 2010

Nota Hati

Seperti posting-posting yang lalu, setiap kali lembaran bulan baru memunculkan wajah, penulis akan mengimbasnya.Dek kerana kesibukan (mungkin) menyebabkan masa terhad untuk mengemaskini blog ini seacap yang mungkin.

Julai berlalu melabuhkan tirainya dengan momen yang cukup indah, hari ini Ogos membuka tirai dengan seribu pengharapan agar peristiwa indah bulan-bulan yang telah berlalu tertebar sama bulan ini jua hendaknya,Insya'Allah.

Jika diputar dua bulan ke belakang (semalam genap dua bulan penulis merintis sisi lain hidup ini) seakan seperti semalam ia bermula.Rasa pantas dan tidak percaya menguasai diri hinggalah pada hari ini, penulis sedar dan berpijak di bumi yang nyata.Genap dua bulan penyertaan di dalam bisnes alaf baru ini di abadikan secara rasmi malam semalam bertempat di Hotel Anson,Teluk Intan melalui satu sessi taklimat khas dan perjumpaan bersama rakan-rakan dari daerah lain.

Ironinya perjumpaan semalam adalah sebagai simbolik kepada permulaan bertapaknya bisnes tersebut di daerah Teluk Intan.Dan penulis akan mengabadikan momen indah tersebut di dalam lipatan sejarah hidup.

Berbagai ragam manusia dapat ditemui semasa perjalanan dua bulan pertama di dalam bisnes ini.Bukan tiada cemuhan atau sindiran sinikal diperoleh, namun respon positif dan pujian daripada pelanggan yang lebih melimpah ruah menjadikan penulis kalis tohmahan bahkan segala unsur negatif tersebut dibuang jauh ke sudut dunia sebagai satu cabaran untuk beristiqamah di dalam bisnes ini.

Disamping beroleh pelanggan, anda juga akan mendapat rangkaian jaringan rakan baru pelbagai kaum dan keturunan melaluinya.Manakan tidak, mekanik-mekanik bengkel kereta pun turut menjadi rakan penulis sekarang!

Apatah lagi dengan pulangan lumayan (Alhamdulillah) yang diperoleh membantu penulis bebas dari kesempitan wang yang sering membelenggu sebelum ini.Dengan izin Allah Yang Maha Pengasih Lagi Maha Penyayang,pendapatan bisnes ini yang diperoleh pada bulan kedua penyertaan menjangkau gandaan lebih  dua kali berbanding penyertaan bulan pertama,Subhanallah...

Jika ada yang skeptikal dan curiga tentang bisnes ini anda boleh berhubung terus dengan penulis.Insya'Allah, melalui bisnes ini-penjualan produk Sunrise-Jus Pink Guava-anda berupaya meningkatkan kualiti hidup walau tidak secara keseluruhan dan juga membantu mereka yang menderita penyakit tertentu sekian lama untuk berpeluang menemui jalan kesembuhan secara semulajadi.

Jom Ajak Minum Buat Untung!

28 July 2010

Koleksi Terbaru

Koleksi jam tangan penulis terkini dihangatkan lagi dengan kehadiran dua utas yang mana salah satunya dibeli oleh penulis sebagai insentif peribadi kerana jualan pink guava yang memberangsangkan manakala lagi satu merupakan hadiah dari adik penulis.


Hadiah untuk diri sendiri :-)

Dihadiahkan oleh Laili-thnx :-)

Himpunan koleksi musim hujan

20 July 2010

TERBARU!!!

Dengan penuh rasa rendah diri dan keinsafan, di samping permintaan yang memberangsangkan daripada pelanggan-pelanggan tetap jus pink guava yang mahukan variasi produk Sunrise, penulis akan mula membawa masuk ke pasaran Teluk Intan, Hutan Melintang dan Bagan Datoh tiga produk baru mulai besok.Produk-produk tersebut ialah A-Lotion (untuk wanita), E-Lotion (untuk lelaki) dan Transparent Soap.

Keterangan ketiga-tiga produk tersebut terdapat di katalog terbaru yang telah penulis paparkan di blog ini.Harap maklum.Jangan lepaskan peluang keemasan ini!!!