Semalam penulis terkejar ke sana sini.Antara melaksanakan tugasan di tempat kerja dan menguruskan keluarga.
Pagi ini penulis masuk ke pejabat agak lambat.Pagi ini juga jadual penulis akan padat.Mujur jadual kerja yang agak fleksibel memungkinkan penulis menjadi 'hollow man' sekejap-sekejap.
Yang penting telefon tidak ditutup kerana bos penulis sangat mementingkan kejujuran.Hehehe!
Pagi semalam penulis menghantar bapa untuk menjalani ujian darah.Kenaikan yang ketara darah tinggi bapa sangat membimbangkan.190/100!Tapi keadaan agak terkawal.Tekanan darah ibu pula adalah rendah dan terpaksa memenuhi temujanji dengan pegawai perubatan pada 23 Februari ini.
Seusai solat maghrib berjemaah di masjid Simpang 4 (giliran penulis bermalam di rumah ibu sebelah isteri) penulis mendapat perkhabaran pulangnya ke Rahmatullah secara mengejut seorang rakan rapat keluarga mertua (Takziah kepada keluarga Cikgu Ibrahim Asral) di rumah anaknya di Klang.Mungkin serangan jantung.
Allahyarham merupakan rakan baik kepada Allahyarham bapa mertua penulis yang juga bernama Ibrahim.Keduanya adalah bekas guru besar dan mereka meninggal selepas maghrib.Jarak waktu pula adalah genap 9 bulan.Tarikh meninggal juga hanya berbeza 2 hari(9/5/08 dan 11/2/09).
Ibu mertua mengajak penulis ke Klang untuk menziarah jenazah kerana akan dikebumikan di sana (Allahyarham sebenarnya menetap di kawasan kejiranan Simpang 4,Hutan Melintang dan meninggal dunia di Klang kerana tujuan utama ke sana adalah untuk mengubati isterinya).Takdir menentukan segalanya.Kemudianya ibu mertua mengatakan akan pergi bersama rakan-rakannya.Maknanya penulis tidak perlu turut serta.
Selang beberapa minit mendapat perkhabaran tersebut,penulis mendapat panggilan telefon dari rumah untuk pulang segera.Hati penulis bercampur baur dan segala macam kemungkinan berlegar di fikiran.Terasa kereta yang dipecut begitu lambat.
Setiba di rumah penulis terus membawa bapa ke hospital sekitar jam 9.15 malam dan didapati tekanan darah meningkat sehingga ke 215/115!
Penulis menunggu sehingga 3 jam lebih sementara bapa mendapatkan rawatan.Letih dan mengantuk bukan lagi mainan.
Alhamdulillah,jam 12.30 malam bapa dibenarkan pulang setelah tekanan ke paras 124/100.Doktor berkata mujurlah segera ke hospital kerana jika dibiarkan mungkin membawa kepada strok.
Pagi ini,penulis menghantar semula bapa ke hospital untuk mendapatkan rawatan susulan.
Tengahari pula penulis akan membawa anak tersayang untuk mendapatkan suntikan 5 bulan di klinik (banyak kali tertangguh kerana kesibukan).
Moralnya kesihatan adalah anugerah tidak ternilai dan hidup mati pula adalah putaran kejadian alam yang semestinya ditempuhi setiap insan.Pengorbanan jika dilakukan dengan ikhlas akan terdapat kepuasan disebaliknya.
Bukan mudah berkorban meminta isteri meletak jawatan yang stabil.Bukan mudah juga berkorban menolak pelawaan bos yang pernah menawarkan pertukaran kerja ke persekutuan (sekarang adalah di bawah kerajaan negeri) untuk bertukar ke KL dan menetap bersama isteri di sana.
Segalanya kerana memikirkan tanggungjawab.
Sekian.
No comments:
Post a Comment